dia yang risau dan gementar


cepat sungguh masa berlalu. sungguh. memang cepat.
hari ini nasihah genap 2 bulan menjengah ke dunia yang penuh tanda tanya ni.
hari-hari berlalu sangat pantas. kadang-kadang urusan bukan sekadar tidak tersusun, bahkan tidak mampu disusun.

hari demi hari berlalu.
seorang demi seorang diajak berbual. tentang hidup. tentang risalah dan tentang hari esok.
cepat sungguh masa berlalu. semalam kita bagai nak menangis kita bercerita tentang hari-hari kelmarin. dan hari ini kita sama-sama berdebar membicarakan hari esok.

dah tua dah kita semua ni.
bukan hari demi hari makin muda.
nak tak nak. kita kene bercakap tentang hari besok.
alangkah indahnya bila kita bercakap tentang hari besok bukan tentang perkara biasa-biasa.
tapi tentang tsabat pada jalan Dia.

"akh, ana risau kalau-kalau tak tsabat.."
air mata berkaca. nada suara mula menggetar.
dia bertanya soalan yang sama lagi.
kalaulah aku dia...

ya Allah..
kami sendiri tidak tahu
kerana kami hanya punya harapan
Engkau yang punya jawapan.

pesan untuk hati

adakalanya habis upaya. ada ketikanya sempit dada dan kering airmata. kadang kala sebak. tapi nak ajar hati dan jiwa. makan apa yang ada, minum apa yang sedia, guna apa yang tinggal. betul kita susah. tapi mungkin kerana kita, bukan kerana pengorbanan kita lagi. mungkin lapar kita tak sampai terikat batu, mungkin tiada upaya bergerak tidak sampai berjalan kaki bermusafir, mungkin yang tinggal pada kita bukan roti keras saidina Umar atau gandum kasar Nabi SAW. tapi Dia nak ajar kita terus berdoa, moga Allah beri keberkatan pada sedikit yang ada ini, sebagaimana Dia memberi keberkatan pada mereka yang susah sebelumnya.

pesan babah dan ummi, untuk yang tidak lama lagi turut merasa sama. tabahkan hati.
moga kesenangan Allah tangguhkan, bukan untuk seketika atau setahun dua lagi. tapi Allah tangguhkan untuk Akhirat nanti.

Amin.

sebuah warkah lagi


lembaran "Jalan ke Hati" diselak semuka ke semuka. terhenti sejenak pada pesan Imam Hassan Al Banna.

"orang seperti kita dalam perjalanan ini, gelora lautan yang luas sentiasa mengelilingi kita. Sebagaimana dakwah, ia kerapkali dihalang oleh pukulan badai dan gelora ganas. perahu yang kecil akan terumbang ambing ke kiri dan ke kanan. jika kita duduk di dalam perahu itu kita akan merasa takut, cemas dan bimbang. katakanlah jika kita tukar enjin itu kepada layar dan pendayung, sudah tentu lebih mencabar dan memerlukan kesungguhan dan usaha yang tiada henti walaupun sampai lewat adalah lebih baik dari berhenti di tengah jalan dan langsung tidak sampai ke destinasi yang dituju."

mungkin inilah warkah sebenar dari sisi sebuah bahtera. terasa kerdil jiwa ini dengan amanat yang terlalu besar diungkap oleh risalah ini. hari demi hari berlalu, berbagai cerita dan berita terungkap. yang pasti semuanya memberi petanda. adakah besok kita masih ada...

moga terus tsabat.

Warkah dari sisi sebuah bahtera 2

Sahabat,
Salam untukmu dan selawat untuk dia,

aku menulis lagi, Alhamdullilah, milik Dia pujian, aku masih menulis di atas bahtera. Sambil hati berzikir syukur melihat hebatnya dayungan rijal pada sisi bahtera. terpahat diwajah bicara keikhlasan, menitis basah peluh pengorbanan dan hampir-hampir air mata menitis melihat dakapan cinta mereka pada perjuangan.

namun jemari ini giat mengajak berbicara. tentang samudera. yang luas permukaanya melupakan aku pada dalam jurangnya.

izinku meminjam kata-kata Ibnu al Jauzi
"Bukanlah ilmu itu dengan banyak riwayat, tidak juga dengan banyak menukil kata-kata ulamak, tetapi ilmu adalah cahaya yang dicampak ke dalam hati, dengannya ia mengetahui kebenaran, dan membezakan yang batil, ia mengungkapkannya dengan kalimah yang ringkas yang membawa kepada maksud.”

kurenung sedalamnya, dan aku akui tertewas dengan sebarang kesimpulan melainkan satu. Berapa ramai dari kita pandai berbicara, tentang dalil dan kalimah menegakkan hujah, tetapi terlupa untuk apa kita bersuara. Berapa ramai yang pandai mengumpul dan menyatukan manusia bersama, tetapi terlupa kemana kita membawa mereka. Berapa ramai yang punya jalan dan kaedah yang hebat, tetapi terlupa apa tumpuan dan apa tujuan.

"Engkau (Muhammad) tidak pernah berharap kitab Al-Quran ini diturunkan kepadamu. (Ia tidaklah diturunkan kepadamu) melainkan kerana rahmat daripada tuhanmu jua. oleh itu janganlah engkau menjadi pembantu kepada orang-orang kafir. " (Al Qashas: 86)

izinkan aku meminjam kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali.
"sesungguhnya pemilihan untuk membawa risalah yang agung bukanlah berdasarkan kepda impian dan cita-cita seseorang, sebaliknya berdasarkan kepada kemampuan untuk memikulnya."

perjuangan membawa risalah ini bukan dinilai berdasarkan keberanian dan cita-cita sahaja, tetapi memerlukan kemampuan memikul risalah ini dengan jujur dan amanah. Bukan sekadar menebar hujah menggema bicara manusia yang lain, tetapi menyeru manusia pada asalan dan pengakhiran kehidupan.

dalam kita menyeru dan bercerita, jangan lupa bahawa Allah adalah matlamat dalam setiap unsur perjuangan samaada yang tetap mahupun yang berubah. Bukankah ini pesan Al Banna?

akhirnya, kita beramal kerana menyembah Allah, bukan kerana manusia atau apa-apa ciptaannya. kita berjuang menanam benih iman di dada manusia. bila ia mekar, maka telah terhubunglah akal dan hati manusia dan penciptanya. dan dengan itu, selesailah urusan kita di dunia, dan berharaplah diterima.

tukarlah kalimah bicara dari "ikutlah aku kerana aku dan orang-orang bersamaku" kepada "ikutlah aku kerana Dia dan orang-orang yang bersama Dia".

ingat pesanku. dan moga aku juga tidka lupa..
Perjuangan itu bila engkau menyembah Allah dan bukannya bila engkau menyembah hujah.

wassalam

yang hidup untuk yang hidup

“tidakkah manusia itu melihat dan Mengetahui, Bahawa Kami telah menciptakan Dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka Dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah Yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang Yang mati). serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?" katakanlah: "Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan ia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); "Tuhan Yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon Yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu". tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai Bahawa Tuhan Yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia lah Pencipta Yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha mengetahui. Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi. oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan Yang memiliki dan Menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Yasin: 77-83)


meminjam ungkapan Muhammad Al Ghazali, "Risalah yang kekal ialah risalah yang dihubungkan dengan hati sanubari manusia oleh ikatan-ikatan yang kukuh ini. Sesungguhnya Al Quran merupakan suatu utusan yang hidup, yang kamu bertanya kepadanya, lalu ia menjawab persoalanmu, kamu mendengarnya dengan teliti, lalu ia meyakinkan kamu."


jiwa yang hidup, memerlukan jiwa yang hidup untuk menghargainya. jika yang membacanya jiwa yang mati, maka kakulah hubungan, lunturlah keindahan, kelamlah mukjizat. dia sudah menjawab, bila pula kita bertanya? kadang-kadang terfikir, adakah aku membaca alquran, atau sekadar melafaz kembali tulisannya?




lembaran yang pandai bercerita


sejak dilahirkan, saya memang kurang rajin menulis. Dulu masa zaman muda remaja, setiap tahun akan dimulakan dengan Diari baru. kebanyakkannya saya akan lupa dimana letaknya by April. selain malas menulis, satu lagi kaedah pelik saya ialah saya mengisi diari secara back-dated (tak pasti betul atau tak istilah ini) apapun maksudnya ialah saya menulis pada 26 februari tentang apa yang buat pada 3 haribulan januari sebelumnya. ia bukanlah suatu keistimewaan memori ingatan sejenak dsbgnya..cuma manifestasi sikap selalu terlupa rutin hidup.

tapi semenjak di Adelaide. buku nota silih berganti. bukan lagi diari perjalan hidup. tapi nota tentang kehidupan. manual tarbiyyah yang saya tulis. lebih dari separuh adalah conteng-conteng persediaan tazkirah dan sebagainya. namun satu perkara yang istimewa tentang nota kehidupan yang satu ini ialah setiap satunya bukan sekadar salinan tulisan, tapi juga sebenarnya merupakan bait-bait pengalaman yang terlalu istimewa. cuma kali ini ia diwakilkan dalam bentuk tulisan.

berhelai-helai nota medic saya tulis sepanjang perjalanan 5 tahun 2 bulan di Adelaide ini. tapi lebih separuh darinya, saya sendiri tidak teringat pernah menulisnya. "aku ke tulis ni?". mungkin kerana keringnya hati dan perasaan ketika menulisnya. maka tinta perasaan dan pengalaman tidak terlekat pada warkah perjalanan usia sendiri.

namun nota-nota kehidupan ini punya jiwa yang berbeza. bahkan satu baris sekalipun. menjemput memori dan kenangan perjuangan yang terasa macam baru semalam diulang tayang.

pada satu lembaran kertas tertulis

..."Maut- ingat mati tidak dikira melainkan dengan lidah, hati, anggota. Kisah Fudhail Iyad dan sahabat yang meminta nasihat.".....

dengan sendirinya kenangan bertafakur bersama di Al Khalil, sujud terakhir, air mata keinsafan, sejuk angir di kuburan Adelaide, kaca yang retak....dan seterusnya.
satu demi satu dimainkan kembali.
dengan jiwa, perasaan dan emosi terarah pada sudut yang sempit sambil memikirkan. hebatnya percaturan Illahi. memelihara diri ini setiap ketika dengan nikmat yang entah dari doa yang mana satu.

dan esok, lembaran akan ditulis lagi sehelai demi sehelai. beserta kenangan dan pengalaman yang mendewasakan jiwa dan fikiran. moga semua ini terus kekal dan tidak hilang. walau ada yang cuba memadamnya. cubalah. anda takkan berjaya menipu diri sendiri.

kalaulah boleh terakam setiap ketika. agar dapat diintai sebabak demi sebabak. agar mampu mencari titik noda untuk ditukarkan dengan keampunan dan keinsafan. sebelum nanti, lembaran sebenar ditunjuk Penguasa Al Haqqah.

biarkan kalam ini tiada penutup

memilih untuk berdiri

walaupun mungkin ramai mengunakan alasan internet di Malaysia yang perlahan sebagai hujah kenapa lama tidak online, namun saya lebih suka memilih sesuatu diluar klise. malas. atau dalam kata lain mungkin futhur (lemah semangat) ataupun mungkin gagal untuk istiqamah dalam menulis.

malu mengenangkan perjuangan para du'at yang tidak pernah gagal untuk istiqamah.

"Nabi Nuh berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);"Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran) (Nuh:5)


"Kemudian Aku telah menyeru mereka Dengan terang-terang; "Selain dari itu, Aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai Dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan Dengan perlahan-lahan. (Nuh:9)


benar. siang dan malam. terang dan sembunyi. dan tiada senggang di antaranya.

biar dipinjam pesan Rasulullah kepada sahabat. "qaribu wa saddidu" ertinya membetulkan dan mendekatkan. itulah hakikat istiqamah. takkan sampai kepadanya melain dalam setiap langkah kearah kesudahan amal kita betulkan matlamat dan dekatkan ia kembali dengan tujuan. (mafhum hadith riwayat Muslim)

gembira balik ke Malaysia. bertemu kebanyakkan sahabat. samaada yang masih dalam satu perjuangan ataupun yang telah selesa dengan ijtihad masing-masing dalam soal perjuangan. namun yang penting, masing-masing sedang sibuk mengharungi jalan istiqamah mereka. terfikir diri sendiri. apakah nanti semua cerita dan cita-cita perjuangan ini akan berubah jadi sebuah syiar kemenangan atau kekal sebagai cerita cinta dan cita-cita semata-mata. wallahu a'alam.

tersenyum terkenangkan seorang sahabat. yang kini dah selamat ke Malaysia. alhamdulillah. rupanya sinar hidayah untuknya bukan sempurna di bumi Adelaide ini, tapi tapi di tanah airnya sendiri. paradoksnya. dulu dia yang paling takut untuk balik Malaysia. "sure futhur" katanya. tapi tekadnya yang mengatur kehidupannya. dia telah memilih untuk istiqamah. maka Alhamdulillah. Allah mengurniakannya jalan istiqamah. indah bukan jalan cerita pencipta?

moga tsabat.
dia, aku dan semua.



gugup

tak pernah rasa setakut ini untuk exam.
besok dan lusa final exam untuk MBBS tahun kelima. Objective Structured Clinical Examination (OSCE). kalau Allah izinkan, ini yang terakhir untuk kali ini, sebelum boleh tersenyum dengan cita-cita yang dicita selama ini. oleh sebab terlalu takut. kepala jadi pening. dah tak bley masuk apa dah. bila risau macam ni selalunya. memang akan buat satu benda ni.

telefon mak.

mak mungkin tak tau OSCE tu apa, mak tak sekolah tinggi pun. duit atuk dan wan tak cukup nak hantar mak sekolah. tapi sejak dulu. dia selalu bagi kekuatan. pesan mak tadi "jangan takut, kalau orang lain boleh buat, kita mesti boleh buat". "kita nak tolong orang nanti, tuhan mesti tolong". "ingat, kita orang susah, kena kuat semangat, insyaAllah adik dan yana boleh buat". "bangun malam, doa, minta kuatkan iman, tenangkan hati dan lapangkan fikiran."

insyaAllah mak...
bukan adik yang melempar kan?...

doakan kami.
permudahkanlah ya Allah..

entah doa yang mana satu





Agaknya. ketika ini apa yang ada dalam fikiran mereka?.....



Buka mataku buka hatiku. Allah terangilah hidupku dengan sinar-Mu
Aku meraba tak berdaya. Tanpa rahmat-Mu aku hilang
Beribu dosa telah terjadi. Mewarnai langkahku
Hitam diri. Hitamlah hari yang lalu
Bila tanpa cahaya-Mu. Gelap seluruh hidupku
Tak berdaya.Tak berarti sia-sia
Tak mungkin bisa. Kusempurna mencintai-Mu
Seperti kemahaan-Mu

jangan sesaat atau yang lebih pendek dari itu

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (2:216)


kadangkala kita rasa kita punya kekuatan. kadangkala kita rasa kita punya kemampuan. namun ada ketikanya, dengan mudah Allah menunjukkan kefakiran kita. begitulah kadangkala suara ketentuan Illahi. yang sebenarnya segalanya punya berita yang ingin diceritakan. cuma kita yang kadangkala terlupa, atau pura-pura terleka untuk memahami bahasa takdir yang kadangkala penuh misteri.

khabarkan pada hati bahawa kekurangan itu wujud supaya engkau merasakan kesempurnaan Dia. kelemahan itu muncul, supaya engkau mengerti kekuatan Dia. kesempitan itu hadir, supaya engkau menikmati keluasan rahmat-Nya.

tidaklah engkau hadir di dunia ini, melainkan untuk merasakan engkau itu hamba. dan bukanlah hamba, melainkan engkau mengisytiharkan kehebatannya dalam kerendahan sujud dan kesunyian tafakkurmu.

Adakalanya kebenaran itu berwajah kepedihan dan bersuara kesedihan

Ya Allah, kami serahkan kepadamu untuk menentukan segalanya untuk kami. Jangan Ya Allah. engkau biarkan takdir kami ditentukan oleh diri kami sendiri. untuk mana-mana ketika. biarpun sesaat. mahupun satu ketika yang lebih pendek dari itu.
Ya Allah, kami mohon kekuatan.



 

Blogger Templates. Sponsored by Link Page Report Card